Friend dari Malaysia Penarik Beca menulis note terkait insiden pembubaran peringatan Asyura di Gombak Selangor Malaysia.
RM4,100 sahaja umrah 11 malam di Mekah dan Madinah
tidak termasuk perjalanan pergi dan balik (klik di sini)

Hampir 10 hari saya tak update blog ini. Tak ada posting baru. Bukan apa, saya kepenatan. Terpaksa saya akui, pemergian anak saya, kekasih hati saya, Muhammad Sadiq (2/1/1994 – 4/12/2010) ke pangkuan Allah s.w.t. yang sangat dia harapkan keampunan, belas kasihan dan kasih sayang-Nya, amat memenatkan saya. Penat kerana amat menderita. Terasa sungguh hati saya amat merana.
Ya Allah
tiada bandingannya
betapa amat lemah dan amat tidak berdayanya
anak saya Muhammad Sadiq
berhadapan dengan ke'adilan-Mu
tolonglah, ya Allah, ya Ghafur, ya Rahim, ya 'Afuwwun-Karim
tolonglah ampuni anak saya
tolonglah kasihani kekasih hati saya, Muhammad Sadiq
Wahai Tuhan Yang Maha Berbelas Kasihan kepada hamba-hamba-Mu yang merayu-rayu
dengan hanya bermodalkan harapan
dengan hanya bersenjatakan tangisan
tolonglah maqbulkan doa yang setiap hari saya ratapkan
tolonglah, ya Allah
tolonglah ampuni anak saya
tolonglah kasihani kekasih hati saya, Muhammad Sadiq
SubahanaKa ya Allah
Ta'alaiTa ya Rahman
Ajirna minan-nar, ya Mujir!!
Tak cukup dengan kepenatan kerana amat merananya saya setelah perginya Muhammad Sadiq, penat pula berlari dan memanjat-manjat. Saya gemuk. Umur pula melebihi separuh abad. Bila terpaksa berlari ketakutan dan terpaksa memanjat-manjat pula dalam keadaan takut, terasa sungguh penatnya.
Anda mungkin membaca laporan Berita Harian 17/12/10 di bawah tajuk "Pukul badan guna rantai sucikan dosa" (lihat salinannya di bawah) tentang berpuluh Syi'ah 'Ali yang "melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat itu sambil melaungkan takbir sebaik menyedari markas itu diserbu 80 pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)".
Tak habis lagi sampai saat ini kepenatan "melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat". Sadaqa Berita Harian! Betapa benarnya Barita Harian!
Bukan senang menjadi orang yang disesatkan dan dikafirkan oleh begitu ramai orang dari dahulu, kini dan di masa akan datang. Saya tahu saya disesatkan dan dikafirkan. Antara lain, saya baca edisi Bahasa Melayu buku Ihsan Ilahi Zahir dan saya baca edisi Bahasa Melayu buku tulisan tokoh Ikhwan Muslimnin, Sa'id Hawwa yang bertajuk "al-Khumainiyyah: Syuzuz fi al-‘Aqaid wa syuzuz fi al-Mawaqif" (Khomeinism: Pelik Dalam Akidah dan Pendirian). Banyak lagi buku lain sepertinya yang saya baca. Buku-buku itu diedarkan percuma.
Bukan senang juga menjadi orang dari puak yang disebut oleh Pengarah Jais, Datuk Muhammed Khusrin Munawi yang "jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara".
Khusrin juga menyatakan orang seperti saya menyifatkan "darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh."
Anda boleh dengar sendiri kenyataan Khusrin yang dirakam oleh Harian Metro di sini termasuk kenyataan bahawa orang seperti saya mengajak orang lain menjadi Syi'ah 'Ali dengan mengumpan kahwin mut'ah, tidak mewajibkan haji, menjama'kan solat Subh, mendewa-dewakan Imam 'Ali 'a.s. dan ikut suka dialah kerana dia Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.
Sadaqa Khusrin. Dia adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor. Tentu dia 'alim. Takkan pula si jahil murakkab dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor. Saya ulangi, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor.
Saya pula si jahil yang sedar bahawa saya jahil. Lebih dari itu, jutaan orang dari dulu sampai sekarang dan akan datang menyesat dan mengkafirkan saya. Takkan orang seperti saya yang disesat dan dikafirkan boleh menjawab Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor!
Apa saya nak jawab. Kedudukan saya lebih rendah dari kafir Kitabi. Lelaki Islam boleh mengahwini perempuan-perempuan Yahudi dan Kristian. Sah nikah mereka. Tetapi menurut Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Dr Hassan Din al-Hafiz, "perkahwinan di antara umat Islam yang berpegang kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengikut Syiah yang boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir daripada perkahwinan terbabit boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf".
Apa yang mampu saya lakukan hanyalah memohon kepada Allah agar saya dibawa bersemuka dengan Khusrin, Dr Hassan, Mufti Selangor Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid, Ihsan Ilahi, Sa'id Hawwa dan sesiapa sahaja yang mengkafirkan dan menyesatkan saya di hadapan-Nya di Hari Perhitungan nanti. Biarlah Allah yang membuat keputusan di antara kami. Setakat itu sahaja kemampuan saya.
Mereka 'alim. Tentu mereka berani bertanggungjawab dengan dakwaan mereka. Malah kerana 'alimnya mereka, tentulah mereka yakin apa yang mereka nyatakan itu adalah jihad yang besar. Saya pula jahat dan jahil. Allah Maha Mengetahui betapa takutnya saya kepada-Nya. Tetapi, apa daya saya dan apa lagi pilihan saya selain memohon seperti yang saya pohonkan itu.
Selepas di buru penguatkuasa Jais pada malam itu, sukar ditolak kemungkinan saya dan orang-orang seperti saya akan diburu lagi seperti binatang. Meskipun demikian, saya tidak sedikit pun merasa sedih.
Apa nak sedihnya? Apa salahnya saya diburu? Saya Syi'ah. Saya seperti binatang.
(Saya tak tulis sebelum ini, sebab saya takut mak saya yang sangat uzur akan merasa amat malu kerana menantunya seperti binatang, disesatkan dan dikafirkan. Saya juga takut kakak-kakak saya, kesemua adik-adik saya di kedua-dua belah pihak serta keluarga mereka merasa amat malu kerana saya seperti binatang, disesatkan dan dikafirkan. Tetapi oleh kerana muka saya sudah tersebar dalam YouTube, tiada lagi pilihan saya)
Berita-berita berkaitan:
Pukul badan guna rantai sucikan dosa
(Berita Harian 17/12/10) GOMBAK: Memukul badan sendiri menggunakan rantai sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa pada setiap 10 Muharam adalah antara 23 penyelewengan agama diamalkan kumpulan ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha yang diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Taman Sri Gombak di sini, malam kelmarin.
Dalam serbuan jam 10.50 malam kelmarin hingga 3 pagi semalam itu, kira-kira 200 orang, termasuk kakitangan awam, pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) ditahan.
Turut ditahan wanita dan kanak-kanak ketika masing-masing sedang mendengar ceramah disampaikan seorang lelaki warga Iran yang dipercayai ketua fahaman berkenaan.
Bagaimanapun, berpuluh lagi melarikan diri dengan memanjat bumbung bangunan empat tingkat itu sambil melaungkan takbir sebaik menyedari markas itu diserbu 80 pegawai dan anggota JAIS.
Difahamkan, setiap ahli kumpulan dibekalkan tiga batu sebesar kurma yang diletakkan di depan sejadah dan ketika sujud dahi jemaah perlu menyentuh batu itu.
Penyelewengan lain dilakukan kumpulan ajaran sesat itu ialah menziarahi kubur Saidina Husain sebagai ganjaran ke syurga, menghina isteri-isteri Nabi SAW serta mengharuskan sembahyang jamak pada bila-bila masa.
Petang semalam, lelaki warga Iran berusia 48 tahun dan seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang dekat sini, bagi perintah jaminan sementara pendakwa syarie menyiapkan kertas siasatan.
Hakim Syarie, Saiful Azli Jamaludin membenarkan mereka dijamin RM2,000 seorang dengan dua penjamin dan memerintahkan lelaki Iran menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta tidak dibenarkan ke luar negeri sehingga tarikh sebutan akan datang.
Saiful kemudian menetapkan 20 Januari depan untuk sebutan kes.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 (c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, mempertikaikan arahan pihak berkuasa agama yang dinyatakan dan diberikan melalui fatwa.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAIS, Datuk Muhammad Khusrin Munawi, berkata ciri-ciri kesalahan kumpulan itu termasuk Imam adalah maksum, kemunculan Imam Mahadi bersama orang mati untuk memberi keadilan, menyanjung Saidina Ali secara keterlaluan dengan menambah dalam Syahadah serta menghalalkan dan mengamalkan nikah mutaah (perkahwinan kontrak).
Katanya, kumpulan itu dikenal pasti dua tahun lalu dan dikategorikan sebagai serius kerana mereka menyebarkan fahaman Syiah secara sembunyi dan menggunakan pelajar Malaysia yang belajar di republik itu dengan menawarkan biasiswa serta memberi hadiah berupa buku.
“Malah, apabila ada pembesar Iran melawat negara ini, mereka mengadakan kempen dan penerangan berhubung fahaman itu sebelum membuat lawatan ke pusat pengajian tinggi tempatan untuk menyebarkan fahaman mereka,” katanya di sini, semalam.
Beliau menyifatkan tangkapan kelmarin adalah yang terbesar dalam sejarah JAIS dan tidak menolak kemungkinan orang ramai berminat menyertai ajaran itu kerana membenarkan perkahwinan mutaah yang menjurus kepada perkhidmatan seks.
Muhammad Khusrin berkata, daripada 200 yang ditahan, 128 masih berada dalam tahanan, manakala selebihnya kanak-kanak dan remaja dibebaskan.
200 pengikut Syiah ditahan
(Utusan Malaysia 17/12/10) KUALA LUMPUR 16 Dis: Kegiatan satu ajaran Syiah tegar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dikesan bergerak aktif di negara ini berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya, malam semalam.
Dua ketua kumpulan itu termasuk seorang warga Iran telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, hari ini dan dibebaskan dengan jaminan.
Para pengikut lain juga telah dibebaskan dengan jaminan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan dipanggil untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.
Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini itu dikatakan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.
Mereka yang menggunakan nama Hauzah Ar Ridha Alaihissalam itu dikesan sudah dua tahun menjalankan kegiatan mereka di tingkat empat rumah kedai berkenaan.
Dalam serbuan sepasukan penguat kuasa JAIS pada pukul 10.15 malam itu, seramai 200 pengikut terdiri daripada lelaki dan perempuan termasuk kanak-kanak sedang khusyuk berselawat dan mendengar khutbah daripada seorang lelaki warga Iran.
Sebahagian pengikutnya yang ditahan merupakan pensyarah dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), peguam dan kakitangan kerajaan.
Pengikutnya terdiri daripada 75 lelaki dan 35 wanita tempatan, enam wanita dan tiga lelaki warga Indonesia, dua wanita Myanmar serta masing-masing seorang lelaki Pakistan, Myanmar dan Iran, manakala selebihnya kanak-kanak.
Ia merupakan penahanan terbesar melibatkan pengikut ajaran yang didakwa sesat dicatatkan di Selangor setakat ini dan JAIS percaya ajaran tersebut turut tersebar di negeri-negeri lain.
Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, pihaknya telah mengikuti pergerakan kumpulan terbabit sejak dua tahun lalu dan setelah memperoleh cukup bukti mengaitkan mereka sebagai pengikut ajaran Syiah yang tegar, barulah markas itu diserbu.
Beliau berkata, ajaran Syiah jika dibiarkan berkembang boleh mengancam keselamatan negara kerana pengikut yang fanatik menganggap umat Islam mazhab lain sebagai kafir.
"Bagi mereka, darah pengikut fahaman lain adalah halal dan ia bermakna penganut Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh dibunuh.
"Ajaran Syiah lebih bahaya berbanding ajaran sesat seperti Al Arqam. Pengikut Syiah di Iran dan India misalnya bergaduh sesama Islam semata-mata berbeza fahaman.
"Inilah yang ingin dielakkan berlaku di negara ini dan tujuan ia disekat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Muhammed Khusrin berkata, mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.
Katanya, antaranya adalah menyanjung sahabat Rasulullah, Saidina Ali secara keterlaluan, menghalalkan nikah mutaah, menolak hadis yang diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah sekalipun hadis Mutawir dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah.
"Penyelewengan dari sudut syariah pula adalah menolak ijmak ulama, qias dan mengamalkan nikah mutaah. Pengikut Syiah juga terlibat pelbagai penyelewengan umum seperti percaya ganjaran syurga jika menziarahi kubur Saidina Husin.
"Selain itu menyiksa diri dengan memukul badan menggunakan rantai sehingga berdarah sempena 10 Muharam, mengharuskan jamak sembahyang dalam semua keadaan dan tidak mewajibkan haji," katanya.
Menurut Muhammed Khusrin, pihaknya percaya ajaran Syiah yang memudahkan ibadat dan menghalalkan nikah mutaah menjadi punca tarikan umat Islam di negara ini untuk menjadi pengikutnya.
Beliau berkata, kumpulan ajaran sesat terbabit mempunyai dana sendiri bagi membiayai aktiviti dan menyewa bangunan untuk dijadikan markas operasi, manakala penyebarannya pula dibuat secara tertutup melalui penganjuran majlis-majlis tertentu.
Katanya, semua yang ditangkap akan didakwa di bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan arahan-arahan yang dinyatakan dan diberikan fatwa oleh pihak berkuasa agama.
Ajaran tak pernah diiktiraf di Malaysia

(Berita Harian 18/12/10) KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia dinasihatkan supaya tidak keliru dengan ajaran Syiah yang cuba dibawa dan dihidupkan di negara ini kerana kerajaan hanya mengiktiraf ajaran Islam yang berasaskan kepada ajaran Sunnah Wal Jamaah mengikut mazhab Shafie sebagai ikutan.
Tokoh agama yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Dr Hassan Din al-Hafiz, berkata Syiah tidak pernah diiktiraf di Malaysia kerana banyak ajarannya bertentangan dengan ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah malah yang lebih membimbangkan ada dari kalangan mazhab Syiah yang memang terkeluar dari ajaran Islam.
"Itulah sebabnya ajaran Syiah tidak diiktiraf kerana ia memberikan implikasi yang besar terhadap pemahaman akidah umat Islam kerana ajarannya yang tidak selari dengan ajaran dibawa Rasulullah SAW.
"Lebih membimbangkan adalah perkahwinan di antara umat Islam yang berpegang kepada ajaran ahli Sunnah Wal Jamaah dan pengikut Syiah yang boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir daripada perkahwinan terbabit boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar kelmarin mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap kira-kira 200 pengikut ajaran sesat dikenali Hauzah Ar Ridha dipercayai ajaran Syiah yang mengamalkan 23 penyelewengan termasuk memukul badan dengan rantai besi sehingga berdarah sebagai tanda menyucikan dosa di Taman Seri Gombak.
Hassan berkata, banyak ajaran Syiah yang terang-terangan menyimpang dan bertentangan dengan ajaran Islam termasuk memukul badan dengan menggunakan rantai pada 10 Muharam sebagai tanda menyucikan dosa, menziarahi kubur Saidina Hussein (cucu Rasulullah) sebagai ganjaran ke syurga serta menghina isteri Nabi Muhammad SAW.
JAIS pantau dua lagi kumpulan Syiah
(Utusan Malaysia 18/12/10) KUALA LUMPUR 17 Dis. – Selepas menyerbu kegiatan satu ajaran sesat Syiah tegar di Batu Caves kelmarin, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kini memantau dua lagi kumpulan ajaran berkenaan di negeri itu.
Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat sebelum tindakan dapat diambil.
"Kita percaya ada lagi kumpulan ajaran sesat itu khususnya di Selangor. JAIS juga menyiasat di negeri-negeri lain seperti Kedah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mengenai kumpulan ajaran sesat Syiah yang ditumpaskan itu, menurutnya, JAIS sedang mengesan pengikutnya di negeri-negeri lain.
"Situasi itu amat membimbangkan kita memandangkan kegiatan ajaran sesat tersebut turut berlaku di beberapa negeri lain.
"Pelbagai tindakan akan dilakukan bagi menyekat kegiatan ajaran sesat tersebut daripada terus berkembang," katanya.
Katanya, kumpulan yang menggunakan nama Hauzah Ar Ridha Alaihissalam itu merupakan kumpulan pertama ditahan oleh JAIS.
"Bagaimanapun dikhuatiri masih ramai lagi pengikutnya bergiat aktif menyebarkan ajaran itu. Ada juga daripada mereka merupakan warga asing iaitu Myanmar dan Indonesia.
"Mereka pada mulanya terdiri daripada jumlah pengikut yang kecil dan berkembang sehingga membentuk pelbagai kumpulan dari pelbagai negeri," ujarnya lagi.
Muhammed Khusrin memberitahu, kumpulan itu juga mempunyai kaitan dengan ajaran sesat dari luar negara.
"Ini berdasarkan penahanan seorang lelaki warga Iran yang menyampaikan khutbah kepada kumpulan tersebut," katanya lagi.
Mengulas perkembangan siasatan kes itu, beliau berkata, pihaknya masih menyiasat pemilik premis yang dijadikan lokasi bagi kegiatan kumpulan tersebut.
"Semakan akan dibuat di pejabat tanah dan Majlis Perbandaran Selayang bagi menyiasat status tanah dan bangunan tersebut," ujarnya lagi.
Tambahnya, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pasukan polis sekiranya terdapat kes jenayah yang membabitkan kumpulan tersebut.
Kelmarin, kegiatan satu ajaran Syiah tegar yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara ditumpaskan berikutan penahanan 200 pengikut dan dua ketua kumpulannya.
Kumpulan yang ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini itu, dikatakan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal dibunuh.
Kerajaan pantau ajaran Syiah
(Utusan Malaysia 18/12/10) KUALA LUMPUR 17 Dis. – Kerajaan akan terus memantau dan menyekat aktiviti ajaran Syiah daripada terus disebarkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Menurutnya, konsep ajaran Syiah tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana fahaman yang mereka anuti sangat berbahaya kepada masyarakat.
Menurutnya, jika fahaman itu terus dibiarkan berkembang tanpa disekat dikhuatiri akan menyebabkan masyarakat kita berpecah belah dan wujud pertelingkahan sesama orang Islam.
"Konsep yang diamalkan oleh pengikut Syiah dan Ahli Sunah Wal Jamaah sebenarnya adalah sama, tetapi pegangan pengikut Syiah yang terlampau ekstrem menyebabkan ajaran itu tidak sesuai diamalkan di sini.
"Pengikut Syiah yang hanya menganggap fahaman mereka sahaja betul dan menidakkan amalan mazhab lain punca utama yang akan menyebabkan kekacauan berlaku dalam umat Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas satu markas ajaran Syiah tegar yang dikesan bergerak aktif dalam negara sejak akhir-akhir ini.
Dalam serbuan itu, JAIS telah menahan 200 pengikut dan dua ketua kumpulan ajaran Syiah itu di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor semalam.
Tambah Jamil Khir, buat masa ini kerajaan masih belum dapat memastikan betapa seriusnya penyebaran ajaran Syiah di negara ini tetapi satu langkah pemantauan telah diambil untuk memastikan ajaran itu tidak terus disebarkan.
"Kita masih tidak dapat pastikan tahap seriusnya ajaran itu tetapi kita akan menghentikan secepat mungkin sebelum ia menjadi semakin menular di kalangan umat Islam," ujarnya.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abdul Wahid berkata, orang ramai perlu mengelakkan diri daripada mengikuti ajaran Syiah kerana ia bertentangan dengan ajaran mazhab yang dipegang oleh majoriti umat Islam di Malaysia.
"Dari dahulu negara kita berpegang kepada ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah dan sesetengah ajaran yang diamalkan oleh pengikut Syiah sangat bertentangan dengan kita.
"Contohnya setiap 10 Muharam pengikut Syiah akan meraikannya dengan mencederakan diri sendiri sampai ada yang mati semata-mata untuk mendapat mati syahid dan jelas ini bertentangan dengan syariat Islam," jelasnya.
Syiah tidak ancam negara
(Utusan Malaysia 20/12/10) KUALA LUMPUR 19 Dis: Kewujudan ajaran Syiah tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara memandangkan tiada kegiatan militan dilakukan oleh kumpulan yang mengamalnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, hasil pemantauan yang dilakukan pasukan keselamatan mendapati fahaman Syiah yang dibawa tidak mempunyai unsur keganasan.
Berikutan itu, kata beliau tidak timbul isu ajaran Syiah akan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.
"Bagi kegiatan ajaran Syiah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan melakukan pemantauan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya akan pantau jika wujud kegiatan militan.
"Bukan sahaja Syiah tetapi kita turut memantau kumpulan-kumpulan daripada agama lain jika terlibat dengan aktiviti militan atau keganasan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ulang tahun kawasan selamat di daerah Ampang Jaya serta merasmikan Program Cegah Jenayah Bersama Menteri Dalam Negeri di Taman Perindustrian Hata di Ampang di sini hari ini.
Hishammuddin memberitahu, walaupun tiada unsur militan dibawa ajaran Syiah namun pihaknya akan tetap melakukan pemantauan supaya kumpulan yang mengamalkannya tidak menjadi ekstremis.
Beliau menambah, selain itu KDN juga akan meneruskan kerjasama dengan Iran, Arab Saudi, Indonesia dan Singapura untuk bertukar maklumat mengenai aktiviti militan yang dilakukan oleh kumpulan ajaran Syiah.
Sementara itu, pada majlis tersebut Hishammuddin turut mengumumkan indeks jenayah jalanan bagi Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya yang menurun sebanyak 39.69 peratus.
Selain itu menurutnya, indeks jenayah jalan bagi Balai Polis Ampang yang merupakan lokasi panas turut menurun sebanyak 47 peratus.
Beliau berkata, penurunan kadar indeks jenayah itu adalah kesan daripada kerjasama yang wujud anta polis dengan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan pangkat.
"Ini menunjukkan gagasan 1 Malaysia yang diilham Perdana Menteri telah berkesan sehingga ia dapat menurunkan kadar jenayah selain mewujudkan suasana yang harmoni di sekitar Ampang.
"Kerjasama seperti ini boleh dijadikan contoh untuk dibawa ke 49 kawasan panas lain di seluruh negara," katanya yang menerima sorakan gemuruh daripada penduduk ketika mengumumkan penurunan indeks jenayah itu.
Isu Syiah: Semua bebas anuti apa jua fahaman, kata Suhakam
(Malaysian Insider 21/12/10) KUALA LUMPUR: Suhakam mengesahkan empat individu yang mengadakan pertemuan semalam adalah antara 200 pengikut Syiah ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) minggu lalu dengan menegaskan, semua orang sama ada rakyat tempatan ataupun asing mempunyai hak untuk menganuti apa jua fahaman.
Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah berkata pertemuan itu adalah untuk mendapatkan nasihat dan bantuan berhubung penahanan mereka.
Beliau juga berkata, satu memorandum akan dihantar oleh empat individu itu kepada Suhakam dalam tempoh terdekat.
“Saya telah dimaklumkan mengenai pertemuan mereka dengan pegawai kami. Pertemuan itu bagi mendapatkan nasihat berkaitan penangkapan oleh Jais. Datang tanya jika ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh pihak Suhakam dan dapatkan nasihat.
“Mereka akan ada tindakan susulan dengan menghantar memorandum kepada kami, namun itu masih belum pasti,” kata Muhammad Sha’ani ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Tambah Muhammad Sha’ani, pihaknya akan menjalankan siasatan dan kajian berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan.
Beliau juga menjelaskan prinsip hak asasi manusia setiap individu bebas dan mempunyai hak untuk menganuti apa sahaja fahaman.
“Kami masih membuat kajian. Tetapi prinsip hak asasi manusia semua ada hak untuk anuti apa jua fahaman. Amalan itu juga sah di beberapa negara, maka perkara itu perlu diambil kira.
“Tidak mudah untuk membuat sebarang keputusan mahupun tindakan. Ini kerana tindakan itu hanya tertakluk kepada warganegara bukan kepada warga asing.
“Jadi bagi kami buat siasatan dan kajian dulu sebelum apa-apa keputusan dibuat dalam perkara ini,” katanya.
Pertemuan yang diadakan sekitar 2 petang dan berlarutan kira-kira satu setengah jam semalam diketuai Mohd Haidar Moh